Smore logo
remove_red_eye 473
page background

Teknologi Pendidikan

Bil 4/2021 * Dikeluarkan pada 11 September 2021

TeknologiPendidikanBil 4/2021 * Dikeluarkan pada 11 September 2021
zoom_out_map

Breakout Rooms dalam Google Meet

Breakout Rooms (selepas ini disebut Pecah Kumpulan) adalah fungsi baharu dalam Google Meet yang membolehkan guru memecahkan peserta sesi Meet kepada beberapa kumpulan kecil. Fungsi ini sangat berguna bagi menggalakkan komunikasi antara pelajar, di samping menggalakkan kolaborasi dalam menyelesaikan sesuatu tugasan.


Setakat ini, fungsi Pecah Kumpulan dalam Google Meet ini dapat digunakan oleh semua guru g-00000000@moe-dl.edu.my, ID Admin sekolah sekolah-0000@moe-dl.edu.my, dan ID CM sekolah-0000-cm0@moe-dl.edu.my.


Untuk menggunakan fungsi Pecah Kumpulan ini, guru perlu menggunakan komputer atau laptop. Pergi ke skrin di bahagian kanan bawah, dan tekan butang Aktiviti (Activities), dan pilih Breakout rooms semasa sesi sedang berlangsung bersama pelajar atau guru lain.

Setelah itu, guru perlu membuat tetapan Pecah Kumpulan. Guru perlu menekan "set up breakout rooms". Satu paparan baharu akan muncul dengan empat ikon di bahagian atas: Rooms (untuk menetapkan bilangan kumpulan), Timer (untuk menetapkan masa aktiviti berkumpulan), Shuffle (untuk merawakkan ahli setiap kumpulan), Clear (untuk memadam tetapan yang ada).

Menetapkan bilangan ahli

Bilangan ahli dan pembahagian ahli kumpulan ditetapkan secara automatik oleh sistem. Walau bagaimanapun, guru boleh menetapkan bilangan ahli dalam satu-satu kumpulan mengikut keperluan bahan, atau kesesuaian sesi yang ingin dijalankan.


Untuk mula membahagikan kumpulan, guru perlu membuat anggaran bilangan pelajar setiap kumpulan, biasanya antara tiga (3) hingga lima (5) orang. Selepas itu, berdasarkan bilangan pelajar yang sedang mengikuti sesi Meet tersebut, guru menetapkan bilangan bilik. Contoh: Kehadiran sesi ialah 18 orang. Guru membuat kira-kira berikut:

18/5= 3.6
18/3= 6

Jumlah kehadiran dibahagikan dengan 5 (iaitu jumlah maksimum ahli kumpulan), dan kemudian dibahagikan dengan 3 (iaitu jumlah minimum ahli kumpulan). Ini memberikan guru anggaran bahawa bilangan kumpulan yang sesuai ialah antara 3 (3.6 yang dibundarkan ke bawah) hingga 6.


Perbezaan bagi setiap nilai ini adalah seperti berikut:


4 kumpulan: (a) 5 (b) 5 (c) 4 (d) 4

5 kumpulan: (a) 4 (b) 4 (c) 4 (d) 3 (e) 3

6 kumpulan: (a) 3 (b) 3 (c) 3 (d) 3 (e) 3 (f) 3

Justeru, guru boleh merancang bilangan kumpulan yang dikehendaki, sama ada 3 orang, 3 hingga 4 orang, atau 4 hingga 5 orang satu kumpulan. Walau bagaimanapun, bilangan ini boleh diubah suai pada bila-bila masa, kerana fungsi seret secara manual boleh digunakan untuk mengubah mana-mana ahli ke bilik lain.

Menetapkan masa aktiviti berkumpulan

Guru boleh terus menetapkan masa untuk aktiviti berkumpulan mengikut kebijaksanaan guru, dan jenis aktiviti yang dilaksanakan. Dengan menetapkan masa, peringatan akan muncul 30 saat sebelum masa tamat, dan peserta hendaklah kembali ke sidang utama semula. Dengan guru menetapkan masa, ada kemungkinan peserta terbabas dan masih berada dalam kumpulan kecil. Justeru, peserta perlu diigatkan agar sentiasa peka dengan masa.


Jika ahli kumpulan ialah 5 orang. Untuk sesi memperkenalkan diri (contohnya dalam pembelajaran bahasa), setiap orang diperuntukkan 2 minit, maka masa aktiviti ialah 10 minit.


Jika ahli kumpulan ialah 3 orang, dan setiap ahli diperuntukkan 2 minit, maka masa aktiviti boleh ditetapkan pada 6 minit.

Walau bagaimanapun, jika guru tidak mahu menetapkan masa, pilihan Timer boleh diabaikan. Namun, guru perlu peka dengan masa dan kemudian secara manual menekan butang Close Room, untuk menutup sesi pecah kumpulan.

Melaksanakan aktiviti menggunakan Breakout Rooms

Aktiviti menggunakan Pecah Kumpulan perlu dirancang dengan teliti oleh guru. Ini supaya sesi pecah kumpulan itu dapat mencapai objektifnya, sama ada untuk:


  1. Membolehkan pelajar berlatih berkomunikasi antara ahli kumpulan
  2. Menghasilkan satu output bertulis
  3. Membincangkan sesuatu pendapat


Jika untuk melatih komunikasi, contohnya dalam kelas bahasa, maka bilangan ahli perlulah kecil, dan masa yang diberi perlulah mengambil kira masa yang digunakan setiap ahli untuk berkomunikasi. Pecah kumpulan seperti ini tidak menghasilkan sesuatu output konkrit yang dapat dilihat kerana ia hanya memberi ruang pelajar untuk pelajar berlatih.


Jika untuk menghasilkan satu output bertulis, maka guru perlu menyediakan platform yang sesuai, sama ada Google Docs, Google Slide, atau Jamboard, bagi setiap kumpulan. Platform ini bertindak seperti “kertas Mahjong” yang tujuan utamanya ialah agar pelajar boleh menulis, melakar atau mengarang di dalamnya. Ini menyebabkan guru terpaksa membuat persiapan awal iaitu menyiapkan tapak platform penulisan itu. Jika bilangan murid ialah 40, dan setiap kumpulan 4 orang, maka guru perlulah menyediakan 10 tapak, iaitu satu bagi setiap kumpulan. Guru juga perlukan satu tempat untuk meletak 10 tapak platform atau “kertas Mahjong” ini, supaya setiap kumpulan dapat mengakses ke “kertas Mahjong” masing-masing. Untuk tujuan ini, guru bolehlah meletakkan semula pautan ke tapak tersebut di satu tempat seperti Google Sites, atau Google Docs.


Jika untuk membincangkan sesuatu pendapat, ia tidak menghasilkan satu output konkrit, kerana perbincangan tidak boleh dirakam di dalam sesi pecah kumpulan. Justeru, adalah lebih baik jika perbincangan itu turut melibatkan penulisan, sama ada jadual atau gambar rajah. Jadi, guru dapat memastikan perbincangan yang adil telah dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek. Contohnya, untuk perbincangan tajuk “Wajarkah telefon bimbit dibenarkan untuk dibawa ke sekolah?”, satu jadual kenapa ia wajar dan kenapa ia tidak wajar boleh disediakan oleh guru, untuk memandu perbincangan pelajar dari pelbagai perspektif, sebelum satu pendapat akhir dimuktamadkan.

Khidmat Latihan

Penulis menyediakan sesi latihan untuk menggunakan Breakout Rooms ini menggunakan modul yang diinovasikan sendiri oleh penulis. Justeru, guru atau sekolah yang memerlukan khidmat latihan ini bolehlah menghubungi penulis untuk perbincangan lanjut.
Nama Latihan: Sesi Pembelajaran Mikro Sesi 1 Menggunakan Breakout Rooms dalam Google Meet
Tempoh: Minimum 60 minit latihan.
Peserta: 7 (minimum) hingga 40 (maksimum).
Mod latihan: Dalam talian.
Keperluan: Setiap peserta memerlukan komputer atau laptop DAN talian Internet yang stabil.
zoom_out_map

Info Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin, guru Bahasa Jepun SMK Bukit Sentosa, 48300 Rawang, Selangor. Beliau ialah Google for Education Certified Trainer, Microsoft Certified Educator, dan Apple Teacher.


Penulis mengalu-alukan sebagai teguran, cadangan atau maklum balas daripada semua.

Email: g-81383682@moe-dl.edu.my
Website: https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/adlan/home
Location: SMK Bukit Sentosa, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, Malaysia
Phone: 017-6192624
Facebook: https://www.facebook.com/adoufr
Twitter: @AdlanMOE

Arkib Risalah Teknologi Pendidikan

Edisi 3/ 2021 Google Meet

Edisi 2/ 2021 Google Drive

Edisi 1/ 2021 Google Classroom
Loading indicator

close

Created with

Communicate quickly and effectively with interactive newsletters.

Smore empowers educators to connect with their community, streamline school communications,
and increase engagement.

Create a newsletter