Teknologi Pendidikan
Bil 7/2021 * Dikeluarkan pada 02 Oktober 2021
Google Meet untuk Mesyuarat Agung PIBG
Google Meet menjadi pilihan untuk digunakan bagi banyak majlis dan program sekolah. Walau bagaimanapun, dengan kekangan peserta sebanyak 250 orang, sebahagian sekolah mencari-cari bagaimana cara untuk menggunakan Google Meet bagi melibatkan peserta yang lebih ramai. Terdapat beberapa pilihan yang biasa digunakan, antaranya:
- Menggunakan applikasi Streamyard yang disiarkan secara langsung melalui YouTube. Cara ini berkesan jika ia bersifat sehala seperti taklimat dan ceramah, yang tidak melibatkan respons daripada penonton. Walau bagaimanapun, penonton masih boleh menaip komen atau pertanyaan di ruangan sembang YouTube, dan operator Streamyard boleh membaca komen atau soalan kepada pembicara, atau memaparkannya di skrin. Kelemahan pilihan ini ialah penganjur dan pembicara tidak tahu siapakah peserta yang sedang menonton.
- Menggunakan 2 Google Meet serentak. Cara ini memerlukan pembicara masuk ke dua (atau lebih) Google Meet serentak, supaya dia dapat menyampaikan bicaranya kepada khalayak yang ramai. Masalah akan timbul jika beberapa pembicara terlibat, jadi mereka akan membuka banyak Google Meet serentak. Seringkali gema dan bunyi bising akan mengganggu kelancaran program.
- Menggunakan fungsi Streaming dalam Google Meet. Walaupun ia boleh mencapai lebih ramai khalayak, tetapi masalah utama ialah penonton tidak boleh memberikan respons langsung.
Kesemua pilihan di atas boleh digunakan, tetapi setiap pilihan mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Banyak pihak memerlukan medium yang dapat melibatkan peserta secara aktif, mudah dikendalikan, serta tanpa sebarang gangguan bunyi bising.
Idea Penggunaan Google Meet
Justeru, dengan batasan Google Meet sedia ada, sekolah masih boleh menggunakan Google Meet untuk pelbagai program yang melibatkan ramai peserta. Contohnya:
- Bengkel teknik menjawab SPM. Biasanya melibatkan semua pelajar kelas peperiksaan. Bilangan mungkin melebihi 250 peserta, lebih-lebih jika dilaksanakan di peringkat yang lebih tinggi seperti daerah. Bengkel seperti ini memerlukan pelajar memberikan respons secara aktif, dan sesi pertanyaan perlu dibuka sepanjang program berlangsung.
- Taklimat pelajar. Mungkin melibatkan beberapa tingkatan atau kesemua pelajar. Jadi bilangan peserta memang ramai. Taklimat seperti ini mungkin tidak memerlukan respons aktif pelajar, walau bagaimanapun, untuk memastikan kefahaman pelajar, pelajar perlu diberikan ruang untuk bertanya soalan. Sesetengah program mungkin menyelitkan acara kuiz yang memerlukan respons pelajar untuk menjawab soalan sama ada secara lisan atau bertulis.
- Mesyuarat PIBG. Walaupun mesyuarat PIBG biasanya kurang mendapat sambutan ibu bapa, namun, pihak sekolah harus bersedia dengan kehadiran ibu bapa dalam talian. Lebih-lebih lagi, jika mesyuarat ini melibatkan pemilihan AJK Tertinggi PIBG, atau Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar, lebih ramai peserta akan terlibat. Mesyuarat PIBG biasanya memerlukan pelibatan aktif ibu bapa untuk membahaskan usul, mengemukakan pertanyaan, mencadangkan dan menyokong sesuatu pencalonan, serta perbincangan umum.
Ideanya mudah, sebagaimana gambar rajah di atas. Caranya:
- Seorang guru menghasilkan satu pautan Google Meet. Google Meet ini dipanggil Line 1. Guru itu dianggap sebagai Operator 1. Line 1 ini dapat memuatkan seorang Operator dan 249 peserta. Semua pembicara hendaklah masuk ke Line 1 ini.
- Seorang lagi guru menghasilkan satu lagi pautan Google Meet. Google Meet ini dipanggil Line 2. Guru itu dianggap sebagai Operator 2. Line 2 ini dapat memuatkan 249 peserta lagi. Operator 2 berkongsi skrin Google Meet Line 1 menggunakan fungsi “Share a tab” di Line 2.
- Jika perlu, guru 3 menghasilkan Line 3 dan menjadi Operator 3. Line 3 dapat memuatkan 249 peserta lagi. Operator 3 berkongsi skrin Google Meet Line 1 menggunakan fungsi “Share a tab” di Line 3.
- Jika perlu, guru 4 menghasilkan Line 4 dan menjadi Operator 4. Line 4 dapat memuatkan 249 peserta lagi. Operator 4 berkongsi skrin Google Meet Line 1 menggunakan fungsi “Share a tab” di Line 4.
- Langkah di atas diulang bagi menampung seramai mungkin peserta yang diperlukan.
Contoh pengiraan:
Jika dianggarkan kehadiran maksimum ialah 5000, maka secara teori, acara ini memerlukan 21 Operator dan 21 Line. Bilangan peserta maksimum ialah 5230 orang. (Rujuk jadual di bawah).
Tugas Operator Sebelum Acara
Untuk menjadi Operator, guru perlu mempunyai laptop yang baik dengan talian Internet yang stabil. Operator berperanan untuk menghasilkan pautan Google Meet. Pautan ini perlu dihasilkan menggunakan Google Calendar, bagi memastikan Operator itu mempunyai akses kepada pelbagai fungsi pemilik pautan seperti Polls (Undian), bisukan peserta (mute) dan lain-lain.
Untuk menghasilkan pautan Google Meet dengan menggunakan kalendar, caranya ialah:
- Buka apps Google Calendar (dengan telefon atau komputer).
- Tekan tanda tambah, dan pilih Event.
- Masukkan tajuk, tarikh, masa dan tekan pada "Add video conferencing".
- Tekan Save.
Kemudian, pada kalendar, tekan untuk membuka acara tersebut. Semua butiran ini boleh diubah pada bila-bila masa mengikut kesesuaian. Klik tanda anak panah ke atas di sebelah kanan "Join with Google Meet", dan tekan "Copy".
Tampal maklumat pautan di media sosial (contohnya WhatsApp atau Telegram), dan hantar kepada AJK Pengiklanan. Isytihar diri sebagai Operator 1 dan pautan Line 1.
AJK Pengiklanan akan menyenaraikan semua Line yang ada dalam iklan acara, serta menambah dalam iklan tersebut: "Sila penuhkan Line 1 dahulu, diikuti Line 2 dan seterusnya."
Contoh iklan melalui media sosial adalah seperti berikut:
__________________________________________________________________
################################################
Mesyuarat Agung PIBG & Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Tebing Sungai
Tarikh: 9 Oktober 2021
Masa: 8:30 pagi - 12:30 tengah hari
Pautan Google Meet:
Line 1: https://meet.google.com/ada-duit-tak
Line 2: https://meet.google.com/awk-sayg-sya
Line 3: https://meet.google.com/mak-mahu-air
Line 4: https://meet.google.com/pak-hsan-din
Sila penuhkan Line 1 dahulu, diikuti Line 2 dan seterusnya. Pautan akan dibuka pada jam 8:25 pagi.
################################################
__________________________________________________________________
Pada komputer atau laptop Operator, guru perlu menginstall satu sambungan (extension) pada Google Chrome masing-masing. Klik install pada pautan sambungan Meet auto admit. Sambungan ini bertujuan agar peserta di luar KPM seperti ibu bapa, dapat masuk ke Google Meet secara automatik, tanpa Operator perlu menekan butang "terima masuk" setiap kali.
Tugas Operator Semasa Acara
Semasa hari kejadian, Operator akan masuk ke dua pautan Google Meet. Pautan pertama ialah Line 1, dan pautan kedua ialah pautan yang dihasilkan sendiri.
Perlu diingat, hanya Operator sahaja yang akan masuk ke dua pautan Google Meet. Semua pembicara perlu masuk ke Line 1.
Operator akan masuk ke Line Sendiri, menutup mikrofon, dan kemudian menekan butang berkongsi tab “share a tab”, dan memilih tab Google Meet Line 1. Ini akan menyebabkan segala yang dibicarakan, serta slaid yang dibentangkan akan dapat didengar dan ditonton di Line Sendiri tersebut, bersama dengan 249 peserta lain.
Apabila tiba sesi untuk mengundi, contohnya semasa Mesyuarat Agung PIBG, Operator akan berfungsi untuk menyampaikan apa yang berlaku di Line Sendiri kepada Line 1, contohnya, bilangan peserta yang mengangkat tangan untuk mengundi Encik Muhammad Irsyaduddin sebagai Yang Dipertua PIBG.
Contoh ucapan:
Operator 2: “Line 2, seramai 200 orang mengangkat tangan”.
Operator 3: “Line 3, seramai 154 orang mengangkat tangan”.
Operator 4: “Line 4, seramai 83 orang mengangkat tangan”.
Justeru, pengerusi (dengan bantuan Operator 1) di Line 1, perlu bertanya kepada setiap Operator mengikut giliran bermula dengan Line 1, Line 2, dan seterusnya.
Jika peserta di Line Sendiri ada menulis di ruangan sembang apa-apa soalan, Operator perlu menyalin dan menampal soalan itu di ruangan sembang Line 1. Begitu juga, jika peserta bertanya secara lisan, operator akan bertanya secara lisan bagi pihak peserta itu di Line 1. Ini menjadikan Operator sebagai perantara antara peserta di Line Sendiri dan Line 1.
Begitu juga, jika ada sebarang pengumuman bertulis di Line 1, seperti pautan kehadiran, pautan e-buku program dan sebagainya, maka Operator perlu menyalin pengumuman tersebut dari Line 1 ke Line Sendiri.
Jika bilangan peserta di Line 1 berkurangan, contohnya ramai yang keluar. Maka Operator 2 di Line 2 perlu meminta peserta berpindah ke Line 1. Jika peserta di Line 2 berkurang, Operator 3 di Line 3 perlu meminta peserta berpindah ke Line 2. Ini bagi membolehkan Line terakhir ditutup, serta memenuhkan Line 1 yang memudahkan peserta bertanya, jika perlu.
Secara berkala, Operator di Line Sendiri perlu melapor bilangan peserta di Line masing-masing, agar para jemputan di Line 1 mendapat gambaran jumlah peserta.
Khidmat Latihan
Nama Latihan: Latihan Operator Google Meet Untuk Acara Sekolah
Tempoh: 30 minit hingga 60 minit
Peserta: tiada had
Mod latihan: dalam talian.
Keperluan: Peserta memerlukan komputer atau laptop DAN talian Internet yang stabil.
Info Penulis
Penulis mengalu-alukan sebagai teguran, cadangan atau maklum balas daripada semua.
Email: g-81383682@moe-dl.edu.my
Website: https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/adlan/home
Location: SMK Bukit Sentosa, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, Malaysia
Phone: 017-6192624
Facebook: https://www.facebook.com/adoufr
Twitter: @AdlanMOE
Arkib Risalah Teknologi Pendidikan
Edisi 6/ 2021 Pensijilan Google for Education Certified Educator
Edisi 5/ 2021 Google Jamboard
Edisi 4/ 2021 Breakout Rooms dalam Google Meet
Edisi 3/ 2021 Google Meet
Edisi 2/ 2021 Google Drive
Edisi 1/ 2021 Google Classroom