Smore logo
remove_red_eye 491
page background

Teknologi Pendidikan

Bil 8/2021 * Dikeluarkan pada 09 Oktober 2021

TeknologiPendidikanBil 8/2021 * Dikeluarkan pada 09 Oktober 2021
zoom_out_map

Google Calendar

Antara apps Google yang jarang diberi perhatian ialah Google Calendar, sedangkan ia satu apps yang sangat berguna kepada kita semua, khususnya sebagai guru. Dengan Google Calendar, kita dapat merancang hidup kita dengan lebih teratur dan tersusun, serta memastikan semua tugasan kita dapat diselesaikan dengan baik. Google Calendar dapat menjadi apps sehenti bagi perancangan harian, mingguan, bulanan, serta tahunan seseorang individu atau organisasi.

Mula Menggunakan Google Calendar

Dalam setiap telefon pintar sekarang, pasti ada satu apps bernama Kalendar. Tidak kira iPhone atau Android, ada satu apps natif iaitu Kalendar. Walau bagaimanapun, jika menggunakan Google Calendar, ada banyak kelebihan disebabkan guru dan pelajar memang menggunakan ID Google @moe-dl.edu.my, justeru integrasi antara Kalendar dan apps lain dalam persekitaran Google adalah lebih baik.


Langkah pertama untuk menggunakan Google Calendar ialah dengan memindah turun apps Google Calendar ke dalam telefon bimbit. Seterusnya, dengan menekan garis tiga di bahagian atas kiri, di bahagian bawah sekali terdapat ikon Settings. Tekan Settings dan turun ke bahagian bawah, pilih “Manage account”. Pastikan anda menambah akaun atau ID Google Classroom @moe-dl.edu.my dengan menekan “Add another account”. Masukkan e-mel dan kata laluan.


Dari paparan muka hadapan, sekali lagi tekan garis tiga di bahagian atas kiri, pilih Settings, dan pilih Manage accounts. Pastikan akaun @moe-dl.edu.my sudah ada dan butang di sebelah kanan akaun dihidupkan. Cara untuk menghidupkan butang ini ialah dengan menyeretkan bulatan putih ke kanan, sehingga bahagian kiri bertukar menjadi warna biru. Semua akaun yang dihidupkan di sini akan dipaparkan sebagai Kalendar tersendiri dalam Google Calendar.


Jika perlu, telefon mungkin perlu dihidupkan semula (restart) sebelum Kalendar dapat digunakan.

Pelbagai Kalendar dalam Google Calendar

Jika guru memang menggunakan Google Classroom untuk mengajar, maka guru akan melihat ada banyak Kalendar telah diwujudkan dalam Google Calendar. Pada paparan Kalendar, tekan garis tiga di bahagian atas kiri, lihat di bawah ID Google Classroom, semua nama Kelas yang dicipta oleh guru akan mempunyai Kalendar tersendiri. Begitu juga Kelas yang disertai oleh guru sebagai Pelajar, kalendar Kelas tersebut akan dipaparkan di sini. Guru boleh memilih untuk memaparkan sesuatu Kalendar dengan menanda rait (tanda betul) di sebelah kiri Kalendar itu. Sebaliknya, jika guru tidak mahu Kalendar itu dipaparkan, maka guru boleh membuang tanda rait tersebut.


Selain Kalendar dari Google Classroom, terdapat tambahan tiga Kalendar yang penting bagi setiap ID atau e-mel yang digunakan, di bahagian paling atas bagi setiap ID. Tiga kalendar itu ialah:


  1. Events. Kalendar ini memaparkan semua aktiviti yang telah ditambah kepada ID tersebut, justeru, pastikan ia bertanda rait.
  2. Tasks. Kalendar ini memaparkan semua tugasan yang dimasukkan melalui Google Tasks. Pastikan ia bertanda rait.
  3. Reminders. Kalendar ini memaparkan semua peringatan. Pastikan ia bertanda rait.

Paparan Kalendar

Paparan Kalendar dalam Google Calendar boleh dipilih mengikut keperluan. Terdapat lima pilihan paparan iaitu:


  1. Schedule. Menyenaraikan semua aktiviti dan acara dalam Kalendar secara berturut-turut. Tarikh-hari yang tiada aktiviti atau acara akan dilangkau dan tidak ditunjukkan.
  2. Day. Menyenaraikan aktiviti dalam sehari mengikut jam. Ruangan kosong bermakna tiada aktiviti atau acara.
  3. 3 Day. Menyenaraikan aktiviti dalam sehari sebanyak 3 hari sebelah menyebelah mengikut jam. Justeru, mudah melihat apa aktiviti atau acara untuk hari ini, esok dan lusa.
  4. Week. Menyenaraikan aktiviti dalam seminggu (7 hari).
  5. Month. Menyenaraikan aktiviti dalam sebulan.


Perlu diingat, semua apps Google beradaptasi mengikut peranti. Justeru, bilangan paparan ini mungkin berbeza mengikut peranti. Paparan ini boleh diubah pada bila-bila masa mengikut keperluan dengan menekan garis tiga di bahagian atas kiri Google Calendar.


Jika pengguna menggunakan telefon bimbit, memegang telefon secara menegak mungkin menunjukkan paparan berbeza dengan memegang telefon secara melintang.

zoom_out_map

Menambah Aktiviti atau Acara di dalam Kalendar

Pada paparan Kalendar, di sebelah kanan bawah terdapat tanda tambah. Tanda tambah ini ialah tanda universal bagi semua aplikasi Google yang bertujuan untuk menambah satu item baharu. Dengan menekan tanda tambah ini, terdapat lima pilihan yang boleh dibuat.


1. Event. Menambah acara ke dalam kalendar. Dengan menambah acara ini, guru dapat mengatur jadual peribadi dengan lebih baik dan mengelakkan pertembungan acara.


Dengan menambah acara, pengguna dapat menambah orang yang terlibat, menambah pautan Google Meet untuk sidang video, menambah lokasi, menambah nota atau keterangan, serta menambah lampiran.


Pelbagai acara boleh ditambah ke dalam kalendar seperti mesyuarat, kursus, hari sukan, hari cuti, hari gaji dan sebagainya.


Contoh acara: Majlis Makan Malam SMK Pelangi Madu.


  • Di dalam Kalendar, guru boleh menambah lokasi contohnya di Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang. Dengan menambah lokasi ini, guru hanya perlu menekan lokasi dan memilih “show in Maps” diikuti dengan peta (seperti Waze) bagi menunjukkan peta perjalanan ke hotel tersebut.


  • Aturcara majlis, kad undangan, serta poster boleh ditambah sebagai lampiran.


  • Nota tentang tema pakaian, adab di dalam majlis, atau senarai menu boleh ditambah dalam keterangan.



2. Task. Menambah tugasan ke dalam kalendar. Ada kala, guru perlu melakukan satu atau lebih tugasan pada tarikh atau masa tertentu. Justeru, menggunakan fungsi tugasan (task) ini, guru dapat memastikan ia dilaksanakan tanpa terlupa atau tertinggal kerana terdapat fungsi “mark completed” bagi tugasan yang sudah diselesaikan, dan tulisan tugasan itu akan ditanda dengan garis potong. Tugasan ini juga boleh dibuka dengan apps Google Tasks.


Contoh tugasan: Bayar sewa rumah, bayar ansuran kereta, siapkan e-RPH.


  • Dalam tugasan, boleh ditetapkan tarikh-masa untuk melaksanakan tugasan tersebut.


  • Kekerapan boleh ditetapkan contohnya setiap minggu atau setiap bulan.


  • Jika perlu, keterangan boleh ditambah, contohnya jumlah bayaran, atau nombor akaun.


  • Pengguna boleh menanda “Tugasan selesai” (mark completed) apabila tugasan telah selesai. Fungsi ini memastikan tiada keciciran atau terlupa.



3. Reminder. Peringatan ini bertindak seperti penggera (alarm) untuk mengingatkan tentang sesuatu acara, atau peristiwa. Penggera ini lebih ringkas daripada acara (event), dan boleh digunakan untuk mengingatkan tarikh ulangtahun, tarikh lahir, masa makan ubat, atau masa menukar lampin bayi.


Contoh penggera: Ulangtahun perkahwinan.


  • Sesuai untuk pengguna yang mahu mengingati tarikh-tarikh penting, atau yang sering dimarahi kerana tidak mengingati tarikh-tarikh seperti ini.


  • Pengguna menetapkan tajuk dan tarikh.


  • Masa boleh ditetapkan jika perlu, atau dibiarkan untuk sepanjang hari (All day).


  • Tetapkan ulangan dengan mengubah “Does not repeat” kepada setiap tahun (Every year).



4. Goal. Menambah matlamat yang ingin dicapai. Terdapat lima matlamat yang telah digariskan di dalam Kalendar iaitu: Riadah (Exercise), Membina kemahiran (Build a skill), Keluarga & rakan (Friends & Family), Masa Kendiri (Me time), dan Pengurusan diri (Organise my life). Guru boleh memilih mana-mana matlamat, kemudian memilih aktivti yang dicadangkan atau menambah aktiviti sendiri.


Setelah itu, Kalendar akan bertanya tentang kekerapan bagi melaksanakan matlamat tersebut sama ada sekali seminggu, 3 kali seminggu, dan sebagainya.


Ini diikuti dengan pertanyaan tentang tempoh yang diperlukan bagi melaksanakan matlamat tersebut, sama ada 15 minit, 30 minit, 1 jam atau 2 jam.


Seterusnya, pengguna perlu memilih masa terbaik untuk melaksanakan matlamat, sama ada pagi, tengah hari, petang atau pada bila-bila masa.


Apabila selesai, Kalendar akan mencari masa yang lapang dan mencadangkan masa yang sesuai. Fungsi matlamat ini boleh digunakan untuk menetapkan masa membaca atau menghafaz Al-Qur’an selama 15 minit setiap hari, belajar bahasa Jepun selama 1 jam tiga kali seminggu, atau menelefon orang tua selama 15 minit dua kali seminggu.


Contoh matlamat: Menghafaz Al-Qur’an selama 15 minit setiap hari pada waktu pagi.


  • Pengguna memilih “Membina kemahiran” (Build a skill). Sebarang pilihan juga boleh, tiada yang salah.


  • Pengguna memilih Custom…


  • Pengguna menaip “Menghafaz Al-Qur’an” dan menekan “Selesai” (Done) atau tanda rait.


  • Pengguna memilih kekerapan “Setiap hari” (Every day).


  • Pengguna memilih tempoh, contohnya 15 minit.


  • Pengguna memilih masa terbaik, contohnya pagi.


  • Pengguna membaca rumusan yang disediakan dan menekan tanda rait.


  • Pengguna menunggu Kalendar memasukkan matlamat ke dalam Kalendar.


  • Pengguna memilih “Looks fine”, atau boleh mengubah masa yang dicadangkan.


  • Pengguna menanda “Selesai” (Done) setelah matlamat berjaya dilaksanakan.


  • Kalendar akan mengucapkan tahniah dan mengira berapa matlamat telah dicapai dalam seminggu.


5. Out of office. Menambah tarikh tidak berada di pejabat, atau tarikh bercuti. Terdapat fungsi untuk menolak semua mesyuarat dengan satu mesej pendek seperti, “Ditolak kerana saya tiada di pejabat”.

Khidmat Latihan

Penulis menyediakan khidmat latihan untuk persediaan pensijilan Google for Education Certified Trainer untuk Level 1 dan Level 2. Justeru, guru atau sekolah yang memerlukan khidmat latihan ini bolehlah menghubungi penulis untuk perbincangan lanjut.
Nama Latihan: Persediaan Pensijilan Google Certified Educator Level 1 atau Level 2
Tempoh: bilangan jam bergantung kepada peserta
Kekerapan: bilangan sesi bergantung kepada prestasi dan kemampuan peserta

Peserta: tiada had
Mod latihan: Bersemuka atau dalam talian.
Keperluan: Peserta memerlukan komputer atau laptop DAN talian Internet yang stabil.

zoom_out_map

Info Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin, guru Bahasa Jepun SMK Bukit Sentosa, 48300 Rawang, Selangor. Beliau ialah Google for Education Certified Trainer, Microsoft Certified Educator, dan Apple Teacher.


Penulis mengalu-alukan sebagai teguran, cadangan atau maklum balas daripada semua.

Email: g-81383682@moe-dl.edu.my
Website: https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/adlan/home
Location: SMK Bukit Sentosa, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, Malaysia
Phone: 017-6192624
Facebook: https://www.facebook.com/adoufr
Twitter: @AdlanMOE

Arkib Risalah Teknologi Pendidikan

Edisi 7/ 2021 Google Meet Untuk Mesyuarat Agung PIBG

Edisi 6/ 2021 Pensijilan Google for Education Certified Educator

Edisi 5/ 2021 Google Jamboard

Edisi 4/ 2021 Breakout Rooms dalam Google Meet

Edisi 3/ 2021 Google Meet

Edisi 2/ 2021 Google Drive

Edisi 1/ 2021 Google Classroom
Loading indicator

close

Created with

Communicate quickly and effectively with interactive newsletters.

Smore empowers educators to connect with their community, streamline school communications,
and increase engagement.

Create a newsletter