Teknologi Pendidikan
Bil 17/2021 * Dikeluarkan pada 11 Disember 2021
Menggunakan ID DELIMa di Gmail
Ramai guru tidak sedar bahawa ID DELIMa yang mereka peroleh merupakan alamat e-mel mereka. Ini menyebabkan mereka tidak menggunakan e-mel @moe-dl.edu.my tersebut, sedangkan ia termasuk sekali dalam pakej ID DELIMA.
Secara am, kita semua sudah mempunyai alamat e-mel peribadi, yang kita cipta @gmail.com atau @yahoo.com atau di mana-mana domain lain. Dengan ID DELIMa ini, kita sebenarnya diberikan satu lagi alamat e-mel yang boleh digunakan sebagai e-mel kerja, untuk sebarang tugas yang berkaitan dengan keguruan.
Bilakah Boleh Menggunakan ID DELIMa @moe-dl.edu.my?
- Alamat e-mel perhubungan. Bagi urusan kerja, atau yang berkaitan dengan keguruan, guru bolehlah menggunakan ID DELIMa @moe-dl.edu.my sebagai alamat e-mel perhubungan. Ini bermaksud, semua e-mel daripada pihak penganjur, akan masuk ke alamat ini. Justeru, semasa menulis alamat e-mel, guru perlulah menggunakan ID DELIMa @moe-dl.edu.my.
- Penulisan, kajian tindakan dan pembentangan. Ramai guru yang mungkin terlibat dalam penulisan sama ada cerpen, puisi, modul latihan, kajian tindakan atau membuat pembentangan di pelbagai peringkat. Dalam hal ini, guru bolehlah menggunakan ID DELIMa @moe-dl.edu.my kerana ia berkaitan dengan kerja dan imej guru.
- Pendaftaran kursus. Dalam era digital disebabkan COVID-19 ini, ramai guru yang mula terlibat dengan kursus secara dalam talian yang berkaitan dengan pendidikan, sama ada untuk peningkatan profesionalisme keguruan atau untuk menambah pengetahuan mereka. Justeru, semasa mendaftar kursus, alamat ID DELIMa @moe-dl.edu.my bolehlah digunakan. Justeru, sijil kursus, resit dan sebagainya akan sampai ke e-mel DELIMa ini.
- Berurusan dengan pelajar atau ibu bapa. Ramai guru mungkin perlu berurusan dengan pelajar. Cara biasa ialah menggunakan media sosial seperti WhatsApp atau Telegram. Dengan ID DELIMa @moe-dl.edu.my, guru boleh menghantar e-mel kepada pelajar atau ibu bapa dengan identiti sebagai pendidik dan mengasingkannya daripada e-mel peribadi.
Gmail di Telefon Bimbit
Seterusnya, pengguna perlu memasukkan ID DELIMa @moe-dl.edu.my jika ia masih belum ada. Tekan gambar muka atau huruf di bahagian atas kanan, pilih “Add another account” dan masukkan ID DELIMa.
Jika guru menggunakan pelbagai e-mel di dalam Gmail, guru boleh memilih sama ada untuk memaparkan “Inbox” sahaja, atau “All inboxes”.
“Inbox” hanya akan memaparkan e-mel yang digunakan sahaja. Jika guru bercuti, pilih e-mel peribadi dan gunakan “Inbox”. Ini akan mengelakkan sebarang e-mel kerja daripada mengganggu cuti guru.
“All inboxes” digunakan jika guru tidak mahu menukar-nukar e-mel yang digunakan dalam Gmail, tetapi mahu melihat setiap e-mel yang masuk. Dengan pilihan ini, walau apa pun e-mel yang sedang digunakan, semua e-mel daripada akaun yang aktif (telah didaftar masuk) akan dipaparkan. Ini akan menjimatkan masa dan semua e-mel dapat dilihat dalam satu tempat.
Fungsi Tambahan dalam Gmail
1. “Labels”. Guru boleh meletakkan label bagi e-mel yang dikehendaki. Antara label yang penting ialah “Sijil”. Untuk menghasilkan label, tekan garis tiga di sebelah kiri atas. Turun ke bawah sehingga jumpa “LABELS”. Pilih “+ Create new”. Taipkan nama untuk label, contohnya “Sijil” dan tekan “Done”. Jika guru menggunakan komputer atau laptop, label yang dihasilkan boleh diwarnakan.
Untuk menggunakan label, buka mana-mana e-mel yang sesuai. Tekan titik tiga di bahagian atas (sebelah sampul surat). Pilih “Label”. Klik pada label yang sesuai. Tekan pada tanda rait di bahagian kanan atas.
Setelah guru melabel e-mel, guru boleh mencari e-mel tersebut dengan menekan garis tiga di penjuru kanan. Turun ke bawah sehingga jumpa “LABELS”. Pilih label yang sesuai, contohnya “Sijil”. Semua e-mel yang telah dilabelkan sebagai “Sijil” akan dipaparkan.
2. “Chat”. Sebagai alternatif untuk penggunaan media sosial seperti WhatsApp atau Telegram, guru boleh menggunakan fungsi sembang terus dari Gmail. Pada tab di bahagian bawah, pilih tab “chat”.
Tekan “New chat” untuk memulakan sembang. Guru boleh menaip alamat e-mel guru, pelajar atau ibu bapa untuk memulakan sembang.
Jika guru ingin bersembang dengan ramai orang, klik pada tab “Space” di bahagian bawah, di sebelah tab “Chat”. Seterusnya, tekan “New space”. Taip beberapa alamat e-mel, dan mulakan sembang dalam kumpulan.
Dengan menggunakan fungsi “Chat” dan “Space”, guru sudah dapat mengelakkan diri daripada menggunakan WhatsApp atau Telegram. Penggunaan “Chat” dan “Space” memudahkan perkongsian gambar, video, fail dari Drive, Google Meet, dan kalendar.
3. Google Meet. Dengan menggunakan Gmail, penggunaan Google Meet dimudahkan kerana telah disediakan satu tab di bahagian bawah. Apabila tab Google Meet ini ditekan, guru boleh menekan butang “New meeting” bagi memulakan satu Google Meet baharu, atau menyertai sebarang Google Meet dengan menekan butang “Join a meeting”.
Khidmat Latihan
Nama Latihan: (bergantung kepada keperluan)
Tempoh: minimum 60 minit
Peserta: tiada had
Mod latihan: Bersemuka atau dalam talian.
Keperluan: Peserta memerlukan peranti yang bersesuaian dan talian Internet.
Info Penulis
Penulis mengalu-alukan sebagai teguran, cadangan atau maklum balas daripada semua.
Email: g-81383682@moe-dl.edu.my
Website: https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/adlan/home
Location: SMK Bukit Sentosa, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, Malaysia
Phone: 017-6192624
Facebook: https://www.facebook.com/adoufr
Twitter: @AdlanMOE
Arkib Risalah Teknologi Pendidikan
Edisi 16/ 2021 Menghasilkan Kod QR dengan Google Chrome
Edisi 15/ 2021 Meningkatkan Keilmuan dengan Google Scholar
Edisi 14/ 2021 Menggunakan Google Calendar Sebagai Takwim Sekolah
Edisi 13/ 2021 Menghasilkan Mesej Telefon untuk Pendidikan
Edisi 12/ 2021 Pensijilan Apple Teacher
Edisi 11/ 2021 Menyimpan Sumber Internet Dengan Wakelet
Edisi 10/ 2021 Google Docs Untuk Soalan Peperiksaan
Edisi 9/ 2021 Mengembalikan Suara Guru Dengan Apps Mote
Edisi 8/ 2021 Google Calendar
Edisi 7/ 2021 Google Meet Untuk Mesyuarat Agung PIBG
Edisi 6/ 2021 Pensijilan Google for Education Certified Educator
Edisi 5/ 2021 Google Jamboard
Edisi 4/ 2021 Breakout Rooms dalam Google Meet
Edisi 3/ 2021 Google Meet
Edisi 2/ 2021 Google Drive
Edisi 1/ 2021 Google Classroom