Smore logo
remove_red_eye 679
page background

Teknologi Pendidikan

Bil 6/2021 * Dikeluarkan pada 25 September 2021

TeknologiPendidikanBil 6/2021 * Dikeluarkan pada 25 September 2021

Pensijilan Google for Education Certified Educator

Google yang kita kenal dan guna sehari-hari, sebenarnya mempunyai satu bahagian khusus yang berkaitan dengan pendidikan yang dinamakan “Google for Education” yang boleh dicapai melalui pautan berikut:

https://edu.google.com/


Google untuk Pendidikan ini bertujuan untuk membantu mengembangkan pembelajaran untuk setiap orang. Justeru, Google turut berusaha untuk menyokong pendidikan melalui produk-produk Google, pelbagai program dan kerja amal.


Dalam laman web edu.google.com (yang boleh diakses dengan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu) di atas, guru boleh pergi ke bahagian Training & Support (Latihan & Sokongan) dan memilih Training & PD (Latihan & Pembangunan Profesionalisme).


Guru boleh menatal (scroll) ke bawah ke bahagian Teacher Centre (Pusat Guru) dan di bahagian ini terdapat latihan untuk guru. Guru yang berminat untuk meningkatkan kemahiran menggunakan persekitaran Google untuk pendidikan bolehlah mengikuti kursus Fundamental Training (Latihan Asas).

Kursus Fundamental Training (Latihan Asas)

Kursus Latihan Asas oleh Google untuk Pendidikan mengambil masa lebih kurang 15.1 jam untuk diselesaikan. Ini bermakna, jika guru meluangkan masa lebih kurang 1 jam sehari, guru boleh menamatkan kursus ini dalam tempoh 15 hari sahaja.


Guru bolehlah bertatih perlahan-lahan untuk membaca nota yang disediakan, menonton video, malah melaksanakan aktiviti untuk belajar bagaimana mengintegrasikan Google dalam kelas.


Bagi guru yang sudah mahir, kursus Latihan Asas ini boleh dihabiskan secepat mungkin mengikut kemampuan dan kelapangan guru. Contohnya, jika guru menghabiskan lebih kurang 3 jam sehari, ia akan selesai dalam 5 hari sahaja.


Setelah tamat mengikuti kursus Latihan Asas ini, guru-guru bolehlah mendaftar untuk mengambil peperiksaan pensijilan Google Certified Educator Level 1.


Kursus Latihan Asas ini terbahagi kepada 13 Unit. Dalam setiap unit, terdapat beberapa tajuk yang perlu dipelajari. Pada setiap tajuk ini, guru boleh melihat anggaran masa yang diperlukan untuk menyelesaikan setiap tajuk. Ini sangat membantu guru untuk merancang masa yang ingin diperuntukkan untuk menghabiskan sesuatu tajuk.


Di hujung setiap unit, terdapat ujian ringkas untuk menguji kefahaman guru. Guru tidak perlu risau, kerana guru boleh menggunakan Google untuk mencari jawaban yang sesuai, atau untuk membaca semula nota. Ujian ringkas ini sangat berguna untuk lulus dalam pensijilan Google Certified Educator Level 1.


Jika guru perlu menggunakan Bahasa Melayu untuk mengikuti kursus Latihan Asas ini, pastikan guru pergi ke Pengguna di penjuru kanan atas, dan memilih My Profil (Profil Saya). Dalam halaman Profil Saya, di bahagian bawah sekali, terdapat pilihan Locale: English. Ubah kepada Melayu. Rujuk video di bawah. Cara kedua adalah dengan menggunakan fungsi klik kanan dan mengubah bahasa. Rujuk juga video di bawah. Justeru, sebenarnya tiada masalah bahasa kerana guru boleh membaca nota dan belajar dengan bahasa Melayu.


Dengan mengikut kursus Latihan Asas ini, guru akan menjadi yakin untuk menggunakan teknologi di dalam kelas dan dapat menggunakan Google Tools iaitu pelbagai apps dalam persekitaran Google untuk kegunaan guru. Sangatlah digalakkan untuk para guru membaca dan menghabiskan nota oleh Google ini.

GCE Menukar Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu dengan klik kanan
GCE Menukar Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu dengan locale
zoom_out_map

Pensijilan Level 1

Dalam laman Teacher Centre (Pusat Guru) di edu.google.com, guru boleh pergi ke Certification (Pensijilan) di tab bahagian atas. Seterusnya, guru memilih Educator Level 1 (Pendidik Tahap 1). Dalam laman ini, guru boleh mendaftar untuk peperiksaan pensijilan berbayar yang mengambil masa selama 180 minit (3 jam). Walau bagaimanapun, waktu sebenar yang diperlukan untuk menjawab peperiksaan ini adalah lebih pendek, bergantung kepada kecekapan guru.

Pautan untuk pensijilan boleh diakses di sini:
https://edu.google.com/teacher-center/certifications/educator-level1/?modal_active=none


Kos untuk peperiksaan ini ialah USD 10 (~RM 45). Guru yang sanggup untuk membayar sendiri bolehlah mendaftar pada bila-bila masa setelah selesai kursus Latihan Asas. Peperiksaan ini boleh diambil dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Jika guru mahu menduduki peperiksaan dalam Bahasa Melayu, pastikan guru mendaftar untuk kertas Bahasa Melayu.


Sijil Google Certified Educator Level 1 ini ialah sijil antarabangsa dan sah untuk tempoh 3 tahun. Ini bermakna, dengan memiliki sijil ini, guru bolehlah memaparkan pengiktirafan ini dalam media dan profil guru. Selepas tempoh 3 tahun, guru perlu untuk memperbaharui sijil Google Certified Educator Level 1 ini dengan menduduki semula peperiksaan pensijilan ini.

zoom_out_map

Bantuan Untuk Belajar Dan Pensijilan

Sekiranya perlu, guru-guru bolehlah meminta bantuan daripada Google for Education Certified Trainer. Senarai Jurulatih Bertauliah boleh dirujuk di pautan berikut:

https://edudirectory.withgoogle.com/


Guru membuka pautan di atas dan menaip lokasi guru, contohnya Rawang atau Dungun. Seterusnya, guru akan dibawa ke halaman yang menunjukkan peta lokasi para Jurulatih Bertauliah yang berdekatan. Semua jurulatih yang tersenarai di laman ini adalah bukti bahawa individu itu adalah Jurulatih Bertauliah yang diiktiraf oleh Google. Rujuk gambar, nama penulis "Mohd 'Adlan Bin Mohd Shariffuddin" muncul apabila ditaip Rawang.


Selain itu, guru juga boleh merujuk kepada Google Educator Groups (GEG) yang berhampiran sekiranya ada.

Kursus Advanced Training (Latihan Lanjutan)

Setelah guru lulus pensijilan Google Certified Educator Level 1, langkah berikutnya ialah meneruskan perjalanan dengan mengambil kursus Latihan Lanjutan. Guru boleh terus menyambung perjalanan masing-masing sejurus lulus pensijilan Level 1 tanpa berlengah.


Walau bagaimanapun, tiada masalah jika guru mahu berehat sehari dua, atau sebulan dua, atau setahun dua, sebelum menyambung ke kursus Latihan Lanjutan. Namun, semakin lewat guru menyambung dengan kursus Latihan Lanjutan, semakin guru akan kehilangan momentum pembelajaran, dan kerugian ilmu pengetahuan yang berguna untuk pengajaran guru.


Pautan pintas ke kursus Latihan Lanjutan ini adalah seperti berikut:

https://skillshop.exceedlms.com/student/path/61210-advanced-training


Kursus Latihan Lanjutan ini mengandungi 11 Unit dan boleh diselesaikan dalam jangkamasa anggaran 15.1 jam. Sama seperti kursus Latihan Asas, guru boleh memilih untuk belajar secara perlahan-lahan mengikut kelapangan masa masing-masing, atau belajar secara maraton dan menghabiskan kursus ini dengan segera. Setelah tamat kursus Latihan Lanjutan ini, guru bolehlah mendaftar untuk menduduki peperiksaan pensijilan Google Certified Educator Level 2.

Pensijilan Level 2

Sama seperti pensijilan Level 1, dalam laman edu.google.com di bahagian Teacher Centre (Pusat Guru), guru boleh pergi ke Certification (Pensijilan) di tab bahagian atas. Seterusnya, guru memilih Educator Level 2 (Pendidik Tahap 2).


Pautan untuk pensijilan boleh diakses di sini:

https://edu.google.com/intl/ALL_my/teacher-center/certifications/educator-level2/?modal_active=none


Guru boleh mendaftar untuk peperiksaan pensijilan Level 2 yang mengambil masa selama 180 minit (3 jam) dengan kos USD 25 (~RM 110). Jika guru mahu dan sanggup membayar sendiri, guru boleh mendaftar pada bila-bila masa setelah selesai kursus Latihan Lanjutan.


Peperiksaan Level 2 ini boleh diambil dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Pastikan guru mendaftar untuk kertas Bahasa Melayu jika mahu menduduki peperiksaan dalam Bahasa Melayu. Sijil Google Certified Educator Level 2 ini sah untuk tempoh 3 tahun. Jika guru boleh menyelesaikan pensijilan Level 1 dan Level 2 ini dalam bulan yang sama atau dua bulan berturut-turut, guru hanya perlu mengingati satu tarikh dan bolehlah memperbaharui sijil ini selepas 3 tahun pada tarikh yang berdekatan.


Selepas lulus pensijilan Level 2, guru yang cenderung untuk berkongsi ilmu dan melatih orang lain bolehlah meneruskan perjalanan untuk menjadi Google for Education Certified Trainer. Bagi yang tidak berminat untuk menjadi Jurulatih Bertauliah, ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam kedua-dua kursus dan pensijilan bolehlah dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang pendidik sehingga sampai tempoh 3 tahun untuk memperbaharui sijil.

DELIMa Certified Training Program

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui portal DELIMa telah mengambil inisiatif untuk memberikan latihan dan baucar percuma untuk menduduki pensijilan Google Certified Educator Level 1 dan Level 2. Guru-guru yang berminat untuk mengikuti program DELIMa Certified Training Program (DCTP) ini, bolehlah menekan pautan berikut:


https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/delimagce/utama?authuser=0

Khidmat Latihan

Penulis menyediakan khidmat latihan untuk persediaan pensijilan Google for Education Certified Trainer untuk Level 1 dan Level 2. Justeru, guru atau sekolah yang memerlukan khidmat latihan ini bolehlah menghubungi penulis untuk perbincangan lanjut.
Nama Latihan: Persediaan Pensijilan Google Certified Educator Level 1 atau Level 2
Tempoh: bilangan jam bergantung kepada peserta
Kekerapan: bilangan sesi bergantung kepada prestasi dan kemampuan peserta

Peserta: tiada had
Mod latihan: Bersemuka atau dalam talian.
Keperluan: Peserta memerlukan komputer atau laptop DAN talian Internet yang stabil.

zoom_out_map

Info Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin, guru Bahasa Jepun SMK Bukit Sentosa, 48300 Rawang, Selangor. Beliau ialah Google for Education Certified Trainer, Microsoft Certified Educator, dan Apple Teacher.


Penulis mengalu-alukan sebagai teguran, cadangan atau maklum balas daripada semua.

Email: g-81383682@moe-dl.edu.my
Website: https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/adlan/home
Location: SMK Bukit Sentosa, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, Malaysia
Phone: 017-6192624
Facebook: https://www.facebook.com/adoufr
Twitter: @AdlanMOE

Arkib Risalah Teknologi Pendidikan

Edisi 5/ 2021 Google Jamboard

Edisi 4/ 2021 Breakout Rooms dalam Google Meet

Edisi 3/ 2021 Google Meet

Edisi 2/ 2021 Google Drive

Edisi 1/ 2021 Google Classroom
Loading indicator

close

Created with

Communicate quickly and effectively with interactive newsletters.

Smore empowers educators to connect with their community, streamline school communications,
and increase engagement.

Create a newsletter